suria

Kerajaan Disaran Wujud Logo Khas Produk Muslim

GAMBAR HIASAN - Ihsan sahabatroselle.com

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan satu logo khusus untuk produk-produk yang dikeluarkan usahawan industri kecil dan sederhana Islam bagi membantu memperluaskan pasaran perniagaan mereka.

Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) berkata langkah itu bertujuan merapatkan jurang dalam penguasaan industri halal di negara ini dan antarabangsa, antara orang Islam dan bukan Islam.

"Kita lihat sekarang, perbezaan besar antara bukan Islam dan Islam di mana, yang bukan Islam 89 peratus menguasai produk halal di peringkat antarabangsa untuk eksport.

"Sementara di peringkat dalam negara pula 70 peratus dikuasai bukan Islam dan selebihnya dikuasai orang Islam," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata kebanyakan pengusaha kecil dan sederhana Islam ketika ini berdepan kesukaran mendapatkan logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang amat diperlukan untuk memasarkan secara meluas produk mereka.

Katanya ini kerana syarat-syarat rumit dikenakan Jakim yang hanya mampu dipenuhi syarikat atau pengusaha yang besar.

Zahidi yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), bagaimanapun berkata logo produk Muslim itu bukanlah untuk menggantikan logo halal Jakim, sebaliknya hanya untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana.

Cadangan Zahidi itu turut disokong Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) yang bangun mencelah dan berpendapat logo itu dapat menentukan sesuatu produk itu dikeluarkan oleh orang Islam.

"Produk halal tidak semestinya dikeluarkan oleh orang Islam, jadi saya amat menyokong kalau ada satu lagi logo sebagaimana yang diperkatakan (Zahidi) Padang Besar, yang disahkan sama ada Jakim sendiri atau KPDNKK," katanya.

Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) turut bersetuju terhadap cadangan itu yang menurutnya akan menentukan sesuatu produk yang mendapat logo itu sebagai halal iaitu bersih, sementara logo halal Jakim pula akan menentukan sesuatu produk itu 'Halalan Toyyiban' iaitu bersih dan suci.

Sebelum ini, Risda pernah mengeluarkan sendiri Logo Produk Muslim untuk digunakan oleh usahawan-usahawannya yang gagal mendapat logo Halal Jakim.

Jakim, bagaimanapun meminta Risda memberi penjelasan mengenai tindakan itu kerana berpendapat ia bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Perintah 201.

Persidangan dewan bersambung Rabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain