Dalam satu kenyataan, MAHB berkata syarikat penerbangan boleh menggunakan sama ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau klia2, memandangkan kedua-dua terminal tersebut merupakan sebahagian daripada sistem rangkaian lapangan terbang yang sama.
"Kami mengambil maklum laporan media yang menyebut bahawa AirAsia merancang memindahkan operasi ke KLIA. Begitu juga kami mengambil maklum minat Malaysia Airlines (MAB) untuk beroperasi di klia2," katanya.
MAHB berkata KLIA dan klia2 sebenarnya satu lapangan terbang, dan mana-mana syarikat penerbangan boleh menggunakan mana-mana terminal yang sesuai dengan model perniagaan dan kecekapan operasi masing-masing.
"Kami terbuka untuk berbincang mengenai keperluan mana-mana syarikat penerbangan untuk menukar terminal jika memberi manfaat kepada mereka, dan keperluan itu boleh dipenuhi berasaskan ketersediaan kapasiti di terminal.
"Itulah yang berlaku apabila Malindo berpindah ke KLIA bagi memenuhi model perniagaan dan menjalin usaha sama dan perkongsian kod dengan syarikat-syarikat penerbangan Timur Tengah," katanya.