GEORGE TOWN: Badan pemikir dasar awam kerajaan Pulau Pinang, Penang Institute, enggan mengulas dakwaan laman DC Leaks yang mendakwa ia menerima dana daripada hartawan George Soros. Pengarah Eksekutifnya, Zairil Khir Johari berkata beliau tidak menyedari mengenai dakwaan itu dan enggan mengulas tanpa mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut. "Oleh kerana ini kali pertama ia berlaku, saya tidak menyedarinya dan lebih baik saya tidak mengulas tanpa mempunyai maklumat mengenainya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Khamis. Bagaimanapun, Zairil, yang juga Anggota Parlimen DAP, berkata jika perlu institut itu akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut dan mengeluarkan kenyataan rasmi. Baru-baru ini, DC Leak mendakwa Open Society Foundation (OSF) yang dimiliki Soros menyalurkan dana kepada pertubuhan awam tempatan termasuk Bersih, C4 Malaysia, Pusat Kesedaran Komuniti (Empower), Penang Institute, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Bebas (Comfrel). - Ia mendakwa OSF turut berusaha mempengaruhi pilihan raya negara ini menerusi program pergerakan pengundi mobiliti. Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy berkata dakwaan tersebut tidak berasas kerana Penang Institute dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Katanya ketirisan itu hadir dengan agenda politik dan tiada rasional untuk mengaitkan Penang Institute dengan Soros. "Saya rasa Penang Institute tidak menerima dana luar khususnya daripada Soros dan tuduhan ini tidak berasas serta mempunyai agenda politik," katanya. Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilaporkan sebagai berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat aduan mengenai penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu dengan niat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. -Bernama