suria

E-Visa Bagi Pelancong China Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pengecualian program visa elektronik (e-visa) bagi pelancong China sehingga 31 Disember tahun depan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata ini berikutan pasaran China merupakan ketiga terbesar bagi kedatangan pelancong ke Malaysia dan jumlah peningkatan yang memberangsangkan sejak program pengecualian visa itu diperkenalkan.

"Pada Januari sehingga Ogos tahun ini, Malaysia menerima seramai 1,406,417 pelancong China iaitu peningkatan sebanyak 26.3 peratus berbanding 1,113,508 pelancong bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kementerian sebelum ini menetapkan sasaran seramai dua juta ketibaan pelancong China setelah kemudahan pengecualian visa ini," katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Loke ingin tahu sekiranya kerajaan bersedia untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa tersebut yang diperkenalkan mulai 1 Mac lepas dan sepatutnya berakhir 31 Dis ini.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan juga memberi kemudahan pengecualian visa sama kepada pelancong dari India yang diperkenalkan tahun lepas.

"Kehadiran pelancong dari India menunjukkan peningkatan walaupun hanya sedikit sejak ia diperkenalkan dan ia sememangnya memberi faedah kepada pelancongan di negara ini," katanya.

Menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) mengenai keberkesanan penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dalam mengawal kespenipuan pakej umrah, Mohamed Nazri berkata ia dikendalikan dengan efektif dalam membendung masalah tersebut.

Mohamed Nazri berkata tahun ini MKSU merekodkan 65 aduan kes penipuan pakej umrah di mana 21 kes telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM140,000.

"Kes itu menunjukkan penurunan berbanding 84 kes aduan tahun sebelumnya dengan tujuh kes diambil tindakan membabitkan kompaun berjumlahRM60,000," katanya. 

MKSU ditubuhkan pada 2014 bagi mengekang kes penipuan umrah yang semakin kritikal. -Bernama

E-Visa, China

Artikel Lain