suria

Berakhir Pengalaman Urus Jemaah Sakit

ASSALAMUALAIKUM.

Untuk dua minggu berturut-turut saya menulis mengenai pengalaman membawa jemaah yang tidak sihat ke pusat perubatan, klinik dan hospital di Makkah. Minggu ini, sekali lagi saya mahu mencoretkan pengalaman yang sama tetapi destinasi kali ini ialah di Tanah Suci Madinah Munawarah.

Setelah hampir sebulan di Makkah, kami berangkat ke Madinah pada 2 Oktober dan tiba di kota bercahaya itu pada jam 8 malam waktu tempatan, iaitu ketika umat Islam sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Nabawi.

Setelah semua jemaah memasuki bilik masing-masing, saya berjalan sendirian di perkarangan Masjid Nabawi dan kembali semula ke hotel penginapan di Hotel Millenium Aqeeq pada kira-kira jam 10 malam.

Di Madinah, sekali lagi saya tidak terlepas daripada membawa jemaah ke klinik Tabung Haji yang terletak di paras 14, Haram Tower, Hotel Movenpick. Seorang demi seorang tidak sihat.

Ada yang sekadar menjalani rawatan biasa dan dibenarkan pulang.
Namun, dua jemaah iaitu Hajah Zaleha dan Hajah Rehana ditahan di klinik Tabung Haji kerana memerlukan rawatan lanjut dan ‘drip’. Keadaan ini menyebabkan mereka perlu duduk di klinik berkenaan semalaman atau seharian.

Jika pembaca masih ingat, saya pernah mencoretkan kisah kak Leha yang terambil tag nama rakan sebilik ketika menerima rawatan di klinik Tabung Haji di Hotel Safwah Royale Orchid, Makkah.

Pada suatu malam, sesudah Isyak, saya terkejut membaca whatsapp berkumpulan yang menunjukkan kak Leha duduk di atas kerusi roda. Secara kebetulan, saya ternampak adiknya, kak Arfah sedang menuju ke lif yang sama.

“Kak, dah tau ke kak Leha di klinik sekarang?” tanya saya.

“Hah. Tak tau. Akak baru balik dari masjid ni,” jawab beliau terkejut.

“Ana pun baru tahu ni. Sebab tadi whatsapp tak boleh nak baca. Ada masalah wifi di sini,” ujar saya lagi.

Kami makan malam bersama dan bercadang mahu melihat kak Leha sejurus kemudian.

Sedang saya menikmati makanan lagi, saya sudah nampak wajah risau kak Arfah.

“Sekejap ye kak,” pinta saya.

Kak Arfah mengangguk.

Selesai makan, kami bergegas ke klinik Tabung Haji. Ketika itu kira-kira jam 9 malam waktu tempatan.

Sejurus tiba di paras 14, kami meluru masuk ke ruang dalam klinik dan terlihat kak Leha terbaring di atas sofa panjang. Dia kelihatan lesu tidak bermaya.



Menerusi whatsapp berkumpulan, kak Leha dibawa ke klinik oleh beberapa jemaah termasuk Haji Sulaiman dan Haji Imran yang ternampak beliau selepas Maghrib di lobi hotel.

Mereka bergegas membawanya kerana mengadu teramat sakit akibat penyakit batu karang yang dihidapinya.

Saya menghampirinya dan jelas kak Leha tidak bermaya dan wajahnya pucat. Suntikan sudahpun diberikan untuk menahan kesakitan. Kak Leha terbaring lesu. Kakak sulung kak Leha, Hajah Zaiton turut ada di sisi menemani.

Beberapa jemaah datang menziarahi kak Leha untuk melihat keadaan dan bertanya khabar.

Setelah semua pulang kerana malam semakin larut, saya, kak Arfah dan kak Zaiton masih di sisi kak Leha.

Tidak lama selepas itu, doktor mengarahkan kak Leha tukar ke katil berhampiran tingkap. Lebih selesa dan menjanjikan pemandangan indah Masjid Nabawi.

Saya dan kak Arfah kagum melihat keindahan Masjid Nabawi dari paras 14 klinik itu pada waktu malam. Tidak jemu memandang. Mata saya tertumpu pada kubah hijau.

“Indahnya. Rezeki saya di sini.” Bisik hati kecil saya melihat keindahan Nabawi yang disimbahi cahaya malam.



Setelah kak Leha nampak selesa di atas katil, doktor menasihatkan kami agar pulang.

“Kak Arfah balik dululah, biar Ana temankan kak Leha,” ujar saya.

“Tak mengapalah Ana,” kata kak Arfah pula.

“Tak mengapa, Ana jaga kak Leha dulu. Kak Arfah pergilah balik sekejap, nak makan ubat atau salin pakaian,” ujar saya lagi.

Kak Arfah pulang seketika ditemani kak Zaiton.

Tinggallah saya dengan kak Leha yang belum mampu melelapkan mata.

“Kak ada surat atau rekod kesihatan tak?” tanya saya.

“Ada dalam beg tu,” ujar kak Leha sambil meminta saya mengambil tas tangan di hujung katil.

Saya lantas mengambil dan menyerahkan kepadanya.

“Ni surat ubat-ubatan kak Leha,” ujarnya sambil menyerahkan kepada saya.

Saya membuka lipatan surat itu dan memberinya kepada doktor.

Doktor membaca dan memaklumkan kepada saya sejurus kemudian.

“Pesakit maklumkan dia ada darah tinggi. Ubat ada di hotel. Di sini ada ubat darah tinggi tak?” tanya saya.

“Tadi kami baru ambil tekanan darahnya dan Alhamdulillah ok. Insha Allah esok pagi baru kita bagi ubat,” balas doktor berkenaan.

Saya bersila di tepi katil kak Leha dan menikmati keindahan masjid serta memerhatikan kubah hijau.

“Ana, kenapa duduk bawah?” tanya kak Leha yang sedang terbaring.

“Tak mengapa kak. Ana suka duduk sini. Nampak masjid dan kubah,” ujar saya.

Tidak sampai satu jam, kak Arfah kembali semula ke klinik untuk menjaga kak Leha. Beliau sendiri tidak sihat pada hari sebelumnya dan masih lagi mengambil ubat-ubatan.

“Kak, Ana balik dulu ye. Insha Allah, lepas Subuh Ana datang lagi,” ujar saya.

“Baiklah Ana. Terima kasih,” balas kak Arfah.

Saya bersalam dengan kak Arfah dan kak Zaiton sebelum berlalu keluar dari klinik berkenaan. Suasana sepi dan hening. Saya berjalan sendirian pada jam 12.30 tengah malam menuju ke hotel penginapan.

Esoknya, selepas bersarapan dan membawa sedikit makanan, saya berjalan ke klinik. Masih sepi dan tidak terlihat kak Arfah ketika itu.

Saya masuk ke dalam klinik dan melihat kak Leha sedang tidur. Di atas meja kecil ada sedikit makanan yang sudahpun dibawa oleh kak Zaiton yang menginap di hotel berkenaan. Tidak lama selepas itu, muncul kak Arfah yang baru pulang dari masjid.

Doktor mengatakan kak Leha boleh pulang pada jam 11 pagi dan keadaannya beransur baik.

Saya meminta doktor memberi ubat-ubatan secukupnya kepada kak Leha kerana bimbang keadaan kesihatan terutama dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Saya kembali semula ke hotel penginapan pada jam 9 pagi dan maklumkan kepada pengurusan Destinasia bahawa tenaga petugas lelaki diperlukan untuk membawa kak Leha pulang dengan kerusi roda.

Haji Aminuddin meminta Haji Hadi membawa pulang kak Leha ke hotel penginapan.

Tepat jam 11 pagi, saya, Hadi dan kak Arfah berjalan ke kllinik untuk mengambil kak Leha. Kerusi roda saya pinjam dari klinik dan perlu menghantarnya semula.

“Ini ubat-ubat pesakit. Mesti makan setiap hari,” ujar doktor berkenaan sambil menulis di atas peket plastik ubat.

Saya memerhati dan mengangguk. Sesekali terbit soalan daripada mulut saya.

Sejurus ubat diserahkan, kak Leha duduk di atas kerusi roda dan Hadi menolaknya hingga ke dalam bilik hotel penginapan.

“Kak, ini ubat-ubatan yang dibekalkan. Pastikan akak makan semua ikut masa yang dah ditulis. Jaga makan minum kak. Jangan minum air gas lagi tau, nanti batu karang sakit balik dan gula pula tinggi,” pesan saya.

“Iyelah Ana. Terima kasih,” ujar kak Leha senyum.

“Makan tengah hari nanti Ana bawa naik ke bilik. Kak Leha nak makan nasi kan?” tanya saya.

“Ana letak nasi, sayur dan ayam. Kalua ada sambal bolehlah,” pinta kak Leha lagi.

“Baiklah kak. Insha Allah, nanti Ana hantar,” balas saya dan menyorong kerusi roda ke bilik penginapan saya sebelum dihantar pulang ke klinik semula.

Sesungguhnya, menguruskan jemaah tidak sihat di Aziziah, Makkah dan Madinah memberi pengalaman baru kepada saya sebagai petugas haji dan umrah.

Alhamdulillah, semua kenangan terpahat dalam ingatan.

Insha Allah, bersambung minggu hadapan.

klinik Tabung Haji, jemaah sakit

Artikel Lain