suria

PM Najib, Ambrin Bantah Permohonan Azmin Cabar Status Sulit Laporan 1MDB

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara dan kerajaan Malaysia akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan mencabar status sulit laporan 1MDB oleh Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor mahu mengubah status laporan berkenaan berkaitan 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

Pendakwa Raya Kanan, Suzana Atan berkata, pihaknya akan memfailkan bantahan selepas menemui Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas), Hanipah Farikullah di kamarnya pada Khamis.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 18 November adalah tarikh pengurusan kes berkenaan.

Menerusi permohonannya, Azmin menamakan Najib yang juga Menteri Kewangan, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengemukakan permohonan itu kerana Najib dikatakan bertindak kerana kepentingan peribadinya apabila mengarahkan Ambrin supaya meletakkan status laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Beliau memohon supaya pengakuan dibuat bahawa Ambrin mengklasifikasikan laporan itu mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) menyalahi undang-undang dan melampaui Perlembagaan, OSA dan Akta Audit 1957.

Azmin juga mahu mahkamah memerintahkan responden, pegawai dan ejen untuk mengubah status laporan itu dan ia didedahkan kepada umum.

1MDB, Ambrin Buang

Artikel Berikut

Artikel Lain