suria

Curi Empat Bateri Generator, Bapa Dua Anak Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR: Seorang bapa dua anak dipenjara sehari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat, selepas mengaku bersalah mencuri empat bateri generator.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Arif Akbar Bacha, 25, selepas dia mengaku bersalah mencuri empat bateri tersebut yang bernilai RM1,000 milik pihak pengurusan Mahasa Villa Apartment.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi yang masih bebas di bilik Telekom Malaysia, Mahasa Villa Apartment, Jalan Persiaran Pelangi, Setapak, di sini pada 5.30 petang, 2 September lepas.

Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Arif dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dengan alasan dia perlu menanggung dua anak masih kecil.

Di mahkamah sama, seorang penganggur, Jaafar Mohd Khuzari, 35, dihukum penjara sehari dan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah mencuri empat botol kismis jenama Sunmaid Natural California berharga RM75.96 milik Pasaraya UO Superstore, di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pada 5.10 petang, Khamis.

Ahmad Solihin memerintahkan Jaafar dipenjara 30 hari lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh memohon denda yang minimum bagaimanapun, Norelynna Hanim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu bukan kesalahan pertamanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta bagi kesalahan kedua hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat. - BERNAMA

curi generator, jenayah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jamal 'Serang' Malaysiakini Esok

Artikel Lain