suria

Tidak Mampu Bayar Sewa, Keluarga Daif Huni Khemah, Bangsal

Zainab Che Long,46, menyuap nasi kepada anaknya Putri Nur Aireen Mazlan, 23, yang bukan sahaja disahkan menghidap kanser tulang awal Januari lalu, malah mengidap kanser darah (Limfoma Hodgkin) sejak Jun lalu di khemah kecil yang menjadi tempat keluarganya berteduh di Kampung Pantai Senok.

BACHOK: Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga besar terdiri daripada 10 beranak di Kampung Pantai Senok, di sini berteduh di dalam khemah dan sebuah bangsal kecil sejak Mac lalu.

Lebih menyayat hati, selain terpaksa bersesak dalam bangsal dan khemah yang sempit, dua daripada mereka mengalami sakit kronik.

Ketua keluarga, Mazlan Taib, 53, menghidap penyakit Hepatitis C dan tidak mampu lagi melakukan kerja berat manakala Puteri Nur Aireen, 23, anak sulung Mazlan dan isterinya, Zainab Che Long, 46, menghidap kanser tulang dan darah pada Tahap 4 dan kini hanya mampu terlantar di katil.

Tinjauan Bernama di bangsal berkenaan mendapati keadaannya sangat tidak selesa dan panas, langsung tidak sesuai untuk menempatkan pesakit, manakala khemah pula dihuni oleh anak pasangan itu yang berusia antara enam dan 16 tahun.

Ketika kunjungan Bernama, Mazlan tiada di kediaman itu kerana menjalani pemeriksaan di klinik berdekatan.

Zainab ketika ditemui berkata keluarganya sebelum ini tinggal di sebuah rumah kedai di kampung sama dengan sewa bulanan RM300.

Katanya mereka terpaksa keluar apabila pemiliknya mahu menaikkan sewa kepada RM600 sebulan.

"Sebenarnya pemilik rumah kedai itu agak baik kerana membenarkan keluarga saya tinggal di rumah itu di samping berniaga makanan secara kecil-kecilan di situ. Cuma kami memang tidak mampu lagi untuk membayar sewa.

"Selepas keluar dari rumah itu kami tiada arah tujuan dan meminta kebenaran untuk membina khemah sementara di tanah milik penduduk di sini. Sehingga sekarang, kami sekeluarga masih lagi berteduh di bawah bangsal dan khemah yang didermakan oleh Persatuan Orang Kota Bharu (POKB)," katanya.

Menurut Zainab, untuk menyara hidup, dia menjual 'mee celup' dengan dibantu anak-anak yang masih bersekolah, dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain sumbangan penduduk setempat.

"Setakat ini ada pihak yang cuba membantu termasuk memberitahu akan menyediakan sebuah rumah di Chiku, Gua Musang dan Manik Urai, Kuala Krai di tanah milik kerajaan negeri tetapi sehingga kini belum ada surat 'hitam putih' mengenai perkara itu.

"Saya sudah tidak kisah rumah macam mana sekalipun asalkan ia selesa berbanding dengan khemah yang didiami sekarang...tambah lagi, anak sulung kini terlantar di atas katil," katanya.

Sementara itu, Puteri Nur Aireen berkata dia amat sedih kerana tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai anak bagi membantu keluarga.

"Saya memperoleh keputusan agak baik dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), memang saya bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebelum ini."

Bagaimanapun, beliau berkata hasratnya itu terbantut kerana kesempitan hidup dan niatnya terpaksa ditangguhkan untuk memberi peluang kepada adiknya, Nur Azlee, 22, melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis.

"Nasib malang menimpa apabila saya disahkan menghidap kanser tulang awal tahun ini. Bukan setakat saya tidak lagi mampu membantu keluarga, kini saya pula yang menjadi beban kepada mereka," katanya.

Zainab Che Long, menyuap nasi kepada anaknya Putri Nur Aireen Mazlan, 23, yang bukan sahaja disahkan menghidap kanser tulang awal Januari lalu, malah mengidap kanser darah (Limfoma Hodgkin) sejak Jun lalu di khemah kecil yang menjadi tempat keluarganya berteduh di Kampung Pantai Senok, Bachok.

Puteri Nur Aireen memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan untuk kos rawatan termasuk ke Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Lima lagi adik-beradiknya masih tinggal bersama keluarga iaitu Mohd Fareez Haikal, 6; Nur Effa Dahlia, 8; Nur Ain Sallyken, 11; Nur Shahrul Iqbal, 14; Mohd Nasrullah, 16, sementara seorang lagi, Nur Azeerah, 19, belajar di Kolej Saito, Petaling Jaya.

Mohd Nasrullah kini belajar kemahiran di Kolej Antarabangsa Astonian, Kubang Kerian manakala Nur Shahrul Iqbal, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal, Ketereh dan mengikuti Projek Bola-Program Pembangunan Bola Sepak Negara di bawah bimbingan Lim Teong Kim.

Berita kemelaratan hidup keluarga ini menjadi viral di laman sosial apabila ada individu yang bersimpati menyebarkan gambar kediaman keluarga ini dan merayu supaya keluarga ini segera dibantu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Tawang, Datuk Hassan Mohamood ketika melawat keluarga terbabit, berkata beliau akan membantu keluarga tersebut mendapatkan rumah yang selesa.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain