suria

KPDNKK Pastikan Pengeluaran Minyak Masa Ikut Kuota

GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan pengilang, pembungkus dan pemborong berlesen mengeluarkan bekalan minyak masak mengikut kuota yang ditetapkan bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan bahan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali berkata operasi berterusan sedang dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak menyorok bekalan yang sepatutnya sampai kepada pengguna.

"Isu yang timbul mungkin pengilang ada masalah teknikal dari segi maklumat dan kuota yang ditetapkan, jadi kita akan pastikan pembungkus mendapat bekalan secukupnya daripada pengilang untuk diedarkan kepada pelanggan masing-masing.

"Pengilang, pembungkus dan pengedar mesti laksanakan tugas mereka jika tidak kita akan mengambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta 'Giant and Friends Of KPDNKK Charity Ride' di sini Sabtu.

Lebih 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi itu yang akan singgah di beberapa lokasi di Selangor untuk menjalankan kerja-kerja amal.

Basaruddin berkata acara itu diadakan bagi menambah keahlian Friends of KPDNKK yang diharap akan menjadi mata dan telinga kementerian dalam isu-isu kepenggunaan di seluruh negara.

Menurutnya langkah ini dapat memudahkan kementerian membuat pemantauan memandangkan ketika ini hanya terdapat kira-kira 2,800 pegawai penguat kuasa KPDNKK dan 1,200 pegawai pemantau harga di seluruh negara.

"Contohnya isu minyak masak ini, kita harap ahli Friends of KPDNKK boleh menyalurkan maklumat kepada kementerian tentang lokasi di mana tiada bekalan," katanya. - BERNAMA

KPDNKK, Minyak Masak

Artikel Berikut

Artikel Lain