suria

Minyak Masak Mungkin Diseludup Melalui 'Lorong Tikus'

Jamil (kanan) menunjukkan bekalan minyak paket bersubsidi ketika tinjauan di salah sebuah pasar raya pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Minyak masak bersubsidi dari Malaysia yang dilaporkan mudah diperoleh di sempadan sebelah Thailand mungkin dibawa keluar ke negara jiran itu melalui 'lorong tikus'. 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh berkata, tindakan itu bagi mengelak pemeriksaan Jabatan Kastam.  

"Kita perlu mengetahui bagaimana pihak tidak bertangggungjawab membawa keluar minyak masak berkenaan. Kita perlu pastikan tahap kegiatan itu termasuk jumlah sebenar minyak masak bersubsidi (Malaysia) yang dijual di sana," katanya kepada Bernama

Media pada Ahad melaporkan bahawa ketika orang ramai mengeluh tentang kesukaran mendapatkan minyak masak, bahan itu didapati berlambak dijual di Thailand.

Jamil turut menarik perhatian bahawa minyak serta barang keperluan lain seperti tepung dan gula perlu mendapat kebenaran dan kelulusan KPDNKK sebelum dieksport. 

Jamil berkata, pemeriksaan di laluan pintu masuk dan keluar sempadan negara bukan di bawah bidang kuasa KPDNKK, namun sentiasa bekerjasama dengan pihak termasuk Jabatan Kastam untuk menangani masalah yang timbul. 

Sementara itu, sumber dari Agensi Keselamatan Sempadan di Bukit Kayu Hitam berkata, penyeludupan di sempadan sukar dikesan kerana pelakunya licik menghidu operasi yang sering dijalankan pihak berkuasa. 

Menurutnya, pelaku kegiatan penyeludupan sudah mengecam pihak berkuasa yang bertugas di kawasan berkenaan. 

"Orang mereka 'tonto' ada di mana-mana sahaja dan bila buat rondaan atau risikan mereka sudah kenal anggota dan pegawai di sini," katanya ketika dihubungi Bernama

Bagaimanapun, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi meningkatkan kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan seumpama itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata, penguatkuasaan di sempadan perlu dilakukan secara bersepadu melibatkan jabatan dan agensi termasuk tentera, terutama di kawasan yang menjadi lorong tikus. 

Beliau turut mencadangkan supaya pengeluaran minyak masak paket 1kg hanya dibenarkan untuk kegunaan tempatan dan dilabelkan sedemikian bagi memudahkan penguatkuasaan. 

Beliau berkata, mekanisme pengeluaran lesen pembungkusan minyak masak bersubsidi perlu dikaji bagi mengelak ketirisan. - Bernama

Artikel Sebelum

Kes Rasuah Di Sarawak Meningkat

Artikel Berikut

Artikel Lain