suria

Peninggalan Era Majapahit Ditemui Di Sungai Melaka

MELAKA: Peninggalan bersejarah era Majapahit pada abad ke-13 dipercayai ditemui di dasar Sungai Melaka sepanjang 2 kilometer (km).

Dua minggu lalu, sekumpulan penyelam profesional menemui beberapa bahagian kuil Hindu dan struktur menyerupai kubu.

Mereka percaya penemuan artifak purba ini mungkin memberi petunjuk kepada bandar tenggelam yang wujud sebelum Parameswara mengasaskan Melaka pada 1400.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron ketika dihubungi mengakui beliau menerima laporan mengenai penemuan artifak purba tersebut.

"Namun kami masih belum mendapat laporan penuh.

"Penemuan itu masih samar sehingga ahli arkeologi dari Jabatan Warisan membuat kesimpulan mereka," katanya.

Kerajaan Majapahit berpusat di Jawa Timur dan merupakan sebuah kerajaan yang mempunyai empayar yang luas semasa kemuncak zaman pemerintahannya pada 1293-1527.

Melaka merupakan sebuah bandar penting untuk pegawai istana dan tentera Majapahit yang menjadikan bandar itu sebagai ibu pejabat maritim mereka.

Pada Februari tahun lalu, The Star melaporkan peninggalan bersejarah ditemui di Pulau Nangka adalah dari era Majapahit.

Dua peninggalan bersejarah di pulau itu dengan paparan aksara dan simbol yang menunjukkan ia milik kerajaan Majapahit.

Ketika dihubungi, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata peninggalan purba yang dikaitkan dengan era Majapahit ditemui dari sungai itu sejak lewat tahun 1990.

"Beberapa peninggalan purba itu dipamerkan di muzium," katanya.

Peminat sejarah, Mohd Fuad Khusari M.Said berkata dia mengkaji dakwaan kewujudan bandar bawah air dan mendapati terdapat sebuah kuil dan struktur menyerupai kubu di dalamnya.

"Bandar bawah air itu bermula dari jambatan berhampiran Hard Rock Cafe di Melaka sehingga ke Kampung Morten.

"Bandar bawah air ini sepanjang kira-kira 20 meter dari permukaan sungai.

"Patung-patung dan pelbagai struktur lain masih utuh," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka Datuk M.S Mahadevan berharap agar Jabatan Warisan dapat mengumumkan hasil penemuan itu kepada umum.








Artikel Berikut

Artikel Lain