KUCHING: Penduduk di Sarawak diberi jaminan tiada sebarang kes di negeri ini kononnya manusia dibunuh dan organ mereka diambil seperti yang viral dalam laman sosial Facebook. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dev Kumar berkata catatan dalam media sosial seperti itu "sama sekali palsu dan sengaja diada-adakan." "Tiada kejadian seperti itu pernah berlaku di Bau atau di tempat lain di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan bagi menyangkal dakwaan itu. Katanya polis menerima dua laporan pada Sabtu dan Ahad yang dibuat terhadap catatan di Facebook yang mendakwa seseorang telah ditangkap di Kampung Daun Sigai, di Bau, dalam Bahagian Kuching, kerana membunuh dua orang. "Menurut catatan itu, penduduk kampung kemudiannya terjumpa anggota badan manusia yang organnya telahpun diambil. "Ia seterusnya mendakwa tiga lagi suspek masih bebas dan menggunakan van putih bercermin gelap untuk mencari lebih ramai mangsa," katanya. Dev berkata gambar mangsa terlibat turut disertakan. "Polis sekali lagi memberi amaran kepada netizen agar tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat. "Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. Mereka akan ditahan dan didakwa di mahkamah," katanya. Beliau berkata polis menyiasat catatan Facebook terkini itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik akaun Facebook yang dikenal pasti sebagai Marcello Michell dan Ivy Michelle supaya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau bagi membantu siasatan. - BERNAMA