suria

Pengislahan Radikalisme, Ekstremisme Tajuk Ucapan TPM Di Oxford University

LONDON:Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme' dalam pertemuan dengan para sarjana dan jemputan khas di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), Oxford University, United Kingdom (UK) pada Rabu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata ucaptama di Oxford University itu akan menjadi fokus utama lawatan kerja lima hari Ahmad Zahid ke negara ini, yang bermula Isnin.

"Lawatan kali ini, yang kedua oleh Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, menjadi lebih signifikan kerana beliau telah dijemput berucap di pusat itu sebagaimana beberapa pemimpin dunia lain, termasuk para pemimpin dari Malaysia sebelum ini, untuk berkongsi pandangan mengenai sesuatu topik," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Beliau berkata Ahmad Zahid juga akan mencatat sejarah sebagai tokoh pertama yang akan berucap di auditorium yang baru siap dibina di OCIS itu, di mana Malaysia turut menyumbang RM12 juta bagi pembinaannya, terutama bagi ukiran kayu untuk hiasan dalamannya. 

Di samping itu, kata Ahmad Rasidi, Malaysia juga menyumbang 10 juta Pound bagi membantu menyiapkan pembinaan bangunan OCIS.Semasa lawatan beliau, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri UK yang baru dilantik, Amber Rudd, pada Selasa bagi membincangkan isu berkaitan hal ehwal dalam negeri, termasuk imigresen dan visa pelajar. 

"Timbalan perdana menteri juga akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa syarikat UK, termasuk Digital Barriers dan Thales UK bagi membincangkan peluang yang boleh diterokai.

"Dengan Thales UK, perbincangan akan berkisar tentang sokongan Malaysia terhadap UK dalam perkara berkaitan maritim dan sempadan," katanya.

Digital Barriers adalah peneraju dunia bagi penyelesaian pintar visual bagi pemantauan, keselamatan dan jaminan pasaran global, yang mempunyai kepakaran dalam 'zero-latency streaming' serta video keselamatan dan risikan berkaitan melalui rangkaian wayarles, termasuk selular, satelit, IP mesh dan cloud.

Ahmad Rasidi berkata timbalan perdana menteri juga dijadual menghadiri majlis makan malam bersama kapten industri UK pada Isnin dan menyertai perbincangan meja bulat di Chatham House dengan All Party Parliamentary Group for Malaysia (APPG) pada Selasa.

Di samping itu, beliau dijadual melawat sebuah kilang dan mengadakan pertemuan dengan UK Space Agency/ Airbus di Stevenage pada Rabu. 

Timbalan perdana menteri juga akan menghadiri mjlis makan malam bersama Diaspora Malaysia pada Selasa, yang dijangka dihadiri kira-kira 400 rakyat Malaysia.

Dianggarkan, 73,000 rakyat Malaysia kini tinggal dan bekerja di UK, manakala 17,631 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi UK bagi tahun 2015-2016.-- Bernama


Artikel Lain