KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin atas pertuduhan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan. Mohd Asrol Mohamad, 29, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan perbuatan tersebut dianggap untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit jenis Samsung Note II. Tertuduh yang berasal dari Taiping, Perak, didakwa melakukan kesalahan itu di No.76, Jalan Dagang 1/2, Taman Dagang, Ampang, Hulu Langat, di sini antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan empat hari bermula 27 Disember untuk perbicaraan kes itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P.Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli.