Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata suspek memberitahu polis bahawa mangsa ada datang ke rumahnya dan berlaku pergaduhan.
"Tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui motif sebenar pembunuhan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Setakat ini beberapa anggota badan mangsa termasuk kepala dan kakinya yang ditemui semalam, sudah dihantar ke Hospital Tangkak untuk siasatan, katanya.
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu ditahan polis tidak sampai sejam di kawasan berhampiran penemuan lima bungkusan beg plastik hitam yang mengandungi anggota badan itu petang semalam.
Awal hari ini di mahkamah, Majistret Maslinda Selamat membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari mulai hari ini ke atas remaja lelaki berkenaan.