PUTRAJAYA: Sebuah kereta milik pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terbakar di hadapan rumahnya, di Presint 9 di sini malam Isnin, dan polis menolak andaian ia ada kaitan dengan perbuatan khianat. Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata kebakaran kereta jenis Honda yang dipandu isteri pegawai KPDNKK itu dipercayai berpunca daripada enjinnya yang terbakar, sekembalinya beliau dari kedai dalam kejadian kira-kira 8 malam itu. "Enjin terbakar sendiri. Tiada perbuatan khianat atau jenayah," katanya ketika dihubungi pada Selasa. - Bernama