suria

Rasuah: Amaran Keras Buat Rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk ahli politik dan badan kehakiman supaya tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Tegas beliau, suruhanjaya itu akan terus memerangi pelaku rasuah dan salah guna kuasa tanpa rasa takut.

"Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tunduk dan menyerahlah. Jangan terus mendabik dada kerana nanti anda mungkin ditimpa bala," katanya menerusi Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia sempena 100 hari berkhidmat menerajui SPRM di sini, Selasa.

Dzulkifli mengambil-alih tugas itu daripada Tan Sri Abu Kassim Mohamed sejak 1 Ogos 2016.

Berhubung tegurannya kepada ahli politik, Dzulkifli berharap kumpulan pemimpin masyarakat itu melaksanakan amanah dan memperjuangkan nasib rakyat yang mahukan pembelaan.

"Buat hakim, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa," katanya ketika menyentuh mengenai anggota badan kehakiman.

Menerusi warkah itu juga Dzulkifli juga memberi peringatan kepada kumpulan pelaksana dalam kerajaan seperti penjawat awam dan penguatkuasa undang-undang termasuk anggota SPRM sendiri.

"Amanah dan kuasa bukan perkara mainan untuk dijual dan buat lacuran. Sedarlah bahawa khazanah dan harta negara itu adalah hak rakyat dan bukan milik peribadi.

"Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhari. Hati-hati saudaraku...hati-hati," katanya.

SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain