suria

Jalan Teluk Bahang-Batu Feringgi Ditutup Seminggu

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman (baju putih) meninjau sebahagian Jalan Teluk Bahang hari ini yang runtuh akibat hujan lebat pada 8 November 2016. - BERNAMA

GEORGETOWN: Jalan Teluk Bahang-Batu Feringghi yang ditutup kerana tanah runtuh dan runtuhan jalan di Jalan Ujong Batu semalam akan ditutup selama seminggu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri Salleh Awang ketika dihubungi pada Selasa berkata pakar-pakar telah menjalankan pemeriksaan dan satu pelan kerja telah digerakkan.

"Kerja-kerja pembaikan akan bermula esok, dan pada masa ini jalan tersebut hanya dibuka kepada motosikal pada waktu tertentu (6 pagi hingga 9 pagi, 5 petang hingga 8 malam, dan 10 malam hingga 12 tengah malam) di bawah pengawasan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Salleh, kerja pembaikan dijangka membabitkan kos lebih RM420,000 dan kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM500,000 untuk tujuan itu.

Pada Isnin, selepas hujan yang berterusan di negeri itu sejak tengah malam tanah runtuh berlaku dan menyebabkan runtuhan sebahagian daripada jalan tersebut.

Salleh juga berkata, kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan dengan segera untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk terutama di kawasan tanah runtuh.

"Kita perlu menjalankan kerja-kerja itu sekarang kerana jika hujan lagi, struktur tanah menjadi tidak stabil, dan menyukarkan kerja-kerja pembaikan yang hendak dijalankan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika melawat kawasan itu, hari ini berkata pihaknya  menganggarkan kos untuk membaiki jalan yang runtuh ialah antara RM500,000 dan RM600,000 dan berharap ia dapat disiapkan segera.

"Kasihan kepada penduduk di Teluk Bahang yang hendak ke pusat bandar kerana terpaksa pusing pulau untuk ke Komtar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain