KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding inkuiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sementara permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung cadangan persempadanan kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di negeri itu diputuskan mahkamah. Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah pada Rabu. Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari mewakili SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh. Ambiga berkata pihaknya akan memohon untuk menangguhkan inkuiri yang dikendalikan oleh SPR sementara menunggu permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar dan diputuskan oleh mahkamah. "Permohonan semakan kehakiman itu akan menjadi akademik sekiranya permohonan untuk menangguhkan inkuiri tersebut tidak dibenarkan oleh mahkamah," katanya yang turut memaklumkan permohonan berkenaan akan difailkan pada Isnin depan. Ambiga berkata mahkamah menetapkan 28 November untuk mendengar permohonan itu. Pada 19 Okt lepas, kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor oleh SPR. Dalam permohonannya, Mohamed Azmin, yang juga timbalan presiden PKR menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Fasal 113(2) dan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal. Anggota Parlimen Gombak itu juga menuntut suatu deklarasi bahawa kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pemilih dalam persempadanan kawasan pilihan raya adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Seksyen 3 dalam Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal. Mohamed Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan atas alasan bahawa tindakan SPR itu bertentangan dengan undang-undang tanpa mengikut perlembagaan, tidak munasabah dan tidak rasional apabila ia melanggar dan/atau gagal memakai Fasal 113(2) Perlembagaan Persekutuan. Beliau antaranya memohon suatu deklarasi bahawa notis yang diterbitkan mempunyai kekurangan butiran terperinci yang mana seseorang pengundi biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak mampu untuk menjalankan hak mereka untuk membuat representasi berhubung notis berkenaan.