LUMUT: Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut gempar apabila sebuah kapal ronda KD Kelantan 'terbakar' dan menyebabkan 26 anggota terperangkap pagi Khamis. Namun, insiden cemas itu hanyalah sekadar latihan kecemasan membabitkan 405 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak, TLDM serta beberapa agensi berkaitan bagi menguji tahap kecekapan. Pengarah JBPM negeri Perak Datuk Yahaya Madis berkata latihan selama enam jam bermula 10.30 pagi itu merupakan antara usaha bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kemantapan kemahiran teknikal. "Ia juga strategi dalam menangani sebarang insiden berskala besar dan sederhana yang melibatkan jumlah keanggotaan ramai, logistik besar serta tempoh operasi panjang atau melebihi empat jam," katanya. Yahaya bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Eksesais Pengurusan Bencana 2016 (DMEX 2016) di sini hari ini. Turut hadir Panglima Bantuan Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman. Menurut Yahaya latihan tahunan itu melibatkan kemahiran serta pengetahuan tetapi dalam masa sama perlu bergerak mengikut prosedur operasi standard (SOP) supaya operasi berjalan lancar. Senario latihan menyaksikan kebakaran KD Kelantan bermula dari sebuah bilik tidur anggota sebelum merebak ke bilik jana kuasa dan seterusnya ke beberapa bahagian dalam kapal ronda berkenaan. Dua jentera bomba TLDM yang dibantu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Manjung serta Sitiawan melakukan kerja-kerja memadam kebakaran selain penyejukan kapal. Sementara itu Abdul Ghani berkata latihan berkenaan selari dengan saranan kerajaan agar setiap agensi berkaitan melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam sebarang operasi.