PETALING JAYA: Kesan selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) terus berlaku di seluruh Asia dengan kebanyakan mata wang ditutup rendah berbanding dolar AS, memaksa bank-bank pusat untuk campur tangan. Kebanyakan mata wang serantau lemah berbanding dolar AS pada Jumaat dengan Korea Selatan menerima kesan paling besar, menurut data daripada Bloomberg. Rupiah Indonesia dan Rupee India juga jatuh dengan ketara. Ringgit ditutup sangat rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan kejatuhan harga minyak serta jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah pada Disember. Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu diniagakan 4.2800/2900 berbanding dolar AS daripada 4.2700/2790 pada Khamis. Seorang peniaga mata wang berkata dalam kebanyakan masa, dolar AS tidak terdapat di kebanyakan bank, menyebabkan pelabur mencari perlindungan di pasaran luar pesisir untuk melindung nilai kedudukan mereka. "Semalam, perdagangan dalam dolar AS adalah terhad berikutan sekatan yang dikenakan oleh bank pusat. Tiada sebut harga pada kadar pertukaran antara ringgit dan dolar AS," kata seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan. Penyusutan ringgit itu juga seiring dengan mata wang sedang muncul lain di Asia. Naib Presiden Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, kejatuhan mata wang Asia dikaitkan dengan kemungkinan impak dagangan di benua ini jika Trump, melaksanakan dasar perlindungan perdagangan. "Jangkaan Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah pada Disember membantu mengukuhkan dolar dan memberi tekanan ke atas mata wang pasaran sedang muncul," katanya. Ringgit juga turun pada paras paling rendah dalam 12 tahun di pasaran luar pesisir kerana pelabur asing menjual bon kerajaan. Menurut data, kontrak hadapan satu bulan mata wang tempatan itu jatuh 3.7 peratus daripada ketika ditutup sebelum ini kepada 4.5395 setiap dolar AS, paras terendah sejak September 2004. Unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain. Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0372/0458 daripada 3.0409/0495 pada Khamis. Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4168/4299 daripada 5.2905/2030, Khamis. Ringgit juga naik berbanding yen kepada 4.0199/0308 daripada 4.0207/0307. Ia susut berbanding euro kepada 4.6519/6632 daripada 4.6505/6624 Khamis.