suria

Rakyat Malaysia Terima Anugerah 'Young Tunneller Of The Year'

Derek Eng Jia Yih (kanan) bersama Presiden Persatuan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa Eric Leca.
SINGAPURA: Malaysia sekali lagi berbangga di peringkat global apabila seorang jurutera terowong di MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Derek Eng Jia Yih, diumumkan sebagai 'Young Tunneller of the Year' oleh Persatuan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa.

Dalam kategori ini, peserta akhir telah diadili untuk kejayaan mereka dalam membawa inisiatif atau idea-idea inovatif pasaran, mencabar amalan biasa atau mengetuai operasi teknikal yang kompleks.

Jia Yih, 30, menewaskan lima peserta profesional muda yang berpotensi dari negara-negara lain dalam Anugerah Kerja-Kerja Terowong Antarabangsa 2016  yang mana majlis penyampaian hadiah disampaikan pada majlis makan malam gala, Jumaat.

"Anugerah ini adalah satu penghormatan bagi saya dan saya bersyukur kerana kerja-kerja saya pada tahun-tahun yang lalu diiktiraf.

"Pengiktirafan ini lebih mendorong saya untuk memberi sumbangan kepada syarikat dan industri secara keseluruhan," katanya, yang mempunyai lebih dari lima tahun pengalaman dalam pemasangan dan pengendalian mesin pengorek terowong (TBM) untuk pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang atau yang dikenali sebagai Laluan 1 Projek MRT Lembah Klang.

Dilatih sebagai seorang jurutera awam, beliau adalah salah seorang daripada mereka yang membantu pengurus terowong dalam menguruskan semua kerja-kerja terowong yang berkaitan, termasuk penyelarasan dengan pihak ketiga dan penyelesaian masalah.

Artikel Lain