suria

Air Pasang: Peniaga Di Pantai Tok Jembal Terus Berniaga

KUALA NERUS: Peniaga di sekitar Pantai Tok Jembal nekad meneruskan perniagaan mereka meskipun terdapat amaran kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar.

Rata-rata peniaga melahirkan keyakinan dengan faktor keselamatan berikutan adanya benteng yang baharu dibina di sekitar pantai tersebut.

Tinjauan Bernama di pusat perniagaan yang berkonsepkan kafe kontena, Dapo Pata (Dapur Pantai) sejak malam tadi mendapati orang ramai masih mengunjungi lokasi itu, namun mengelak daripada berada terlalu hampir dengan pantai.

Pemiliknya, Affandi Hamzah berkata keputusan untuk terus berniaga itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa faktor setelah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kaji Cuaca kepada komuniti di sekitar kawasan pantai itu baru-baru ini.

"Sebagai komuniti yang berada di sepanjang pantai Tok Jembal ini, kami di Dapo Pata telah diundang hadir ke taklimat itu yang dianjurkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selain ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelbagai pihak di sekitar kawasan pantai di Kuala Nerus.

"Kami dimaklumkan perkembangan terbaru mengenai ramalan Jabatan Meteorologi berkenaan perubahan cuaca untuk musim tengkujuh kali ini dan hasil maklumat itu, Dapo Pata memutuskan untuk meneruskan operasi perniagaan seperti biasa," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya tidak akan mengambil risiko sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk dan akan mengikut arahan penguat kuasa.

Katanya, sejak beberapa malam yang lalu, beliau dan beberapa vendor telah memantau keadaan pantai dan mendapati benteng pemecah ombak dibina kerajaan negeri Terengganu sepanjang hampir satu kilometer di pantai itu berjaya mengurangkan hakisan.

"Walaupun benteng pemecah ombak ini masih dalam pembinaan dan siap hampir 70 peratus namun impaknya sangat bagus dalam meminimumkan kekuatan ombak seterusnya memastikan keselamatan pengunjung di sini.

"Dapo Pata yang beroperasi bermula 5 petang hingga lewat malam menjadi kawasan tumpuan pelancong dan kami berharap fenomena air pasang yang akan berlaku Isnin ini tidak akan memberi kesan yang teruk terhadap struktur kafe kontena yang beroperasi di sini.

"Apa pun, kami akan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Setakat ini, terdapat 18 vendor makanan yang berniaga di Dapo Pata dan untuk pembangunan Uptown Kontena seterusnya, dijangka 66 vendor akan memulakan operasi dalam bidang peruncitan, makanan kering dan sejuk beku, tekstil, kraftangan, pengusaha bengkel, peralatan sukan, produk kecantikan serta industri kecil dan sederhana (IKS) tidak lama lagi.

Pada 11 Nov lalu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran, Arman Mokhtar menyatakan pihaknya mengenal pasti Pantai Tok Jembal sebagai satu daripada kawasan yang akan terjejas dengan gelombang kedua fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama lima hari bermula hari ini.

Kawasan lain ialah Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan manakala di pantai barat melibatkan kawasan Kuala Muda di Kedah dan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam di Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain