KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA di sini Sabtu meluluskan usul bagi mengubah sistem mengundi dalam pemilihan parti untuk membolehkan kira-kira 33,000 perwakilan bahagian memilih kepimpinan tertinggi. Usul itu dipersetujui oleh 1,800 perwakilan pusat yang hadir di Wisma MCA pada Sabtu malam menerusi undian secara mengangkat tangan. Dari sejumlah 1,801 yang hadir, hanya seorang enggan mengundi usul itu. Speaker MCA, Datuk Yip Phooi Hong yang mempengerusikan mesyuarat, sebelum itu menawarkan perwakilan pilihan sama ada mengundi secara mengangkat tangan atau menerusi undi rahsia. Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang mencadangkan usul itu, menjelaskan bahawa sistem baharu itu akan membolehkan 32,825 perwakilan dari 188 bahagian, memilih pemimpin pusat di pusat-pusat mengundi yang ditetapkan. Di bawah sistem baharu itu, pemimpin-pemimpin dipilih oleh 2,400 perwakilan pusat dalam pemilihan parti, diadakan setiap tiga tahun semasa mesyuarat agung tahunannya (AGM). MCA akhir sekali meminda perlembagaannya pada 2012 bagi membolehkan pemilihan parti itu ditunda dalam tempoh 36 bulan, bukan 42 bulan, seperti pada pemilihan agung lalu. Pada 2004, perlembagaan itu dipinda bagi menetapkan bahawa presiden berkhidmat tidak lebih dari sembilan tahun atau tiga penggal. - Bernama