PETALING JAYA: Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos menjemput pengamal media untuk menaiki helikopter ke rumah seorang pemimpin Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jamal mendakwa ahli politik muda itu telah mengumpul sejumlah harta kekayaan dan beliau akan membawa media pada Selasa untuk melakukan pemantauan terhadap hartanah pemimpin tersebut menerusi udara. "Saya ditawarkan oleh seorang rakan untuk menaiki helikopter dan saya menjemput enam pengamal media untuk bersama-sama saya melihat 'kemewahan' milik pemimpin itu pada tengah hari esok," kata Jamal pada sidang media di luar perkarangan Balai Polis Pandan Indah pada Isnin. Jamal berkata pengamal media yang lain boleh berkumpul di luar perkarangan rumah ahli PKR itu di Kuala Lumpur pada pukul 12.30 tengah hari.