suria

Khaizad Hashim Ditahan Di Medan

Khaizad yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen di Medan, Jumaat lalu.

JAKARTA: Lelaki yang dikehendaki di Malaysia dan menjadi buruan polis sejak setahun lepas, Mohamad Khaizad Hashim, ditangkap pihak berkuasa Indonesia di Medan, Sumatera Utara tiga hari lepas.

Ketua Jabatan Imigresen Medan, Lilik Bambang dipetik oleh media tempatan hari ini berkata Mohamad Khaizad, 51, ditangkap di sebuah rumah di Jalan Glambir V, Gang Atok Ajung, Medan.

Beliau berkata Mohamad Khaizad memasuki Indonesia sejak November 2015 menggunakan kad pengenalan palsu Indonesia atas nama Khairul Azam.

"Dia memasuki Medan dari Aceh, kita membuat siasatan selama tiga bulan dan mendapat maklumat orang awam di kawasan itu kerana identitinya mencurigakan," katanya.

Mohamad Khaizad, seorang pemandu, didakwa di Mahkamah Seremban kerana memeras ugut sebanyak RM15,000 daripada pemilik restoran nasi ayam Hainan di Seremban, Negeri Sembilan, kononnya untuk merasuah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menutup kes rasuah pada Ogos 2007.

Dia yang dalam jaminan bagaimanapun menghilangkan diri dan tidak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan sejak tahun lepas.

Lilik berkata siasatan awal mendapati Mohamad Khaizad memasuki Indonesia menggunakan kapal tongkang menuju ke Batam, Kepulauan Riau, pada November 2015 dan seterusnya menaiki pesawat menuju ke Medan, Sumatera Utara sebelum meneruskan perjalanan ke Bireun di Aceh.

"Mohamad Khaizad kemudian menetap di Bireun dan mengurus identiti sebagai warganegara Indonesia, dan ketika ditangkap mempunyai pelbagai dokumen peribadi sebagai rakyat Indonesia termasuk lesen memandu, kad pengenalan dan pasport Indonesia," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan Mohamad Khaizad sebagai orang dalam buruan polis Malaysia.

"Mohamad Khaizad kini ditahan bagi siasatan lanjut dan dia akan didakwa menggunakan identiti palsu serta memasuki Indonesia secara tidak sah," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.

Katanya Konsul Jeneral Malaysia dan Atase Polis Malaysia di Medan diarah memberi kerjasama bagi membantu siasatan pihak berkuasa Indonesia. -- Bernama

Khaizad Hashim, Medan, SPRM

Artikel Lain