suria

Kualiti Hidup Penduduk PPR Taman Putra Damai Akan Lebih Baik - Noh Omar

KEMENTERIAN Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat perancangan terbaik untuk menangani masalah penduduk PPR Taman Putra Damai.

Sebagai pemilik tanah, kementerian itu berhasrat untuk mengambil alih pengurusan rumah pangsa tersebut daripada kerajaan negeri secepat mungkin.

PPR Putra Damai hasil usaha Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk mengubah kawasan kediaman itu kepada persekitaran yang lebih baik untuk didiami.

Menggunakan Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah kementerian itu, mereka berharap matlamat berkenaan akan berjaya menerusi kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Transformasi ini adalah pelan jangka pendek serta merta dan akan siap dalam tempoh tiga bulan.

Peruntukan sebanyak RM550,000 telah diluluskan di bawah Peruntukan Pembangunan (BP.1) bagi tahun ini.

Antara peruntukan yang telah diluluskan adalah RM371,000 untuk menaik taraf jalan di Blok A, B dan C serta tempat letak kereta di hadapan Klinik 1Malaysia di PPR itu, RM159,000 diperuntukan untuk menggantikan penutup longkang di hadapan Blok B, sekitar padang bola sepak dan di hadapan Blok G dan H dan akhirnya sebanyak RM20,000 akan digunakan untuk membaik pulih kotak pembentungan di hadapan padang bola sepak di Blok A.

Sementara itu bagi 2017, kerja-kerja pembinaan infrastruktur baharu termasuk gelanggang futsal, tempat letak kereta bertingkat dan proses menaik taraf pagar di sekitar Block G dan H akan diteruskan.

Noh sering meluangkan masa untuk bertemu dan mendengar rintihan penduduk PPR Taman Putra Damai.

"Projek-projek semasa dan akan datang di bawah skop sosio ekonomi, infrastruktur dan kemudahan sosial di Taman Putra Damai bakal memenuhi keperluan dan permintaan penduduk dalam bandar," kata Noh.

Beliau berkata kemudahan dan persekitaran yang kondusif akan dinaik taraf bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di PPR Taman Putra Damai.

Kerajaan Persekutuan katanya sentiasa melihat kepada pembangunan seimbang yang menekankan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Walaupun tidak ada definisi khusus kesejahteraan, ia biasanya dikaitkan dengan kualiti dan taraf hidup yang merangkumi ekonomi, sosial, fizikal dan psikologi untuk masyarakat.

"Kesejahteraan yang lebih baik juga akan memastikan peningkatan produktiviti dan pertumbuhan penduduk.


Noh Omar, PPR Taman Putra Damai

Artikel Sebelum

Zuraida Mahu Saman Jamal

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan