suria

Penembak Pesawat MH17 Akan Diketahui Selewat-Lewatnya 2018

KUALA LUMPUR: Pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 2018.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada masa ini, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) telah mengenal pasti identiti 100 individu yang dapat dikaitkan dengan tragedi itu.

"Mereka perlu memanggil tiap seorang daripada mereka bagi menyiasat segala butiran dan apabila kita dah mengenal pasti siapa yang menembak, kemudian kita akan gunakan kuasa kita untuk gunakan mahkamah di Netherlands untuk mendakwa," katanya.

Liow menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Pesawat Boeing B777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, apabila ditembak di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Mengenai MH370, beliau berkata laporan teknikal terperinci dijangka dikeluarkan pada awal tahun depan selepas proses pencarian seluas 120,000 kilometer persegi selesai dijalankan.

Beliau berkata pasukan pencarian yang melibatkan Australia, China dan Malaysia juga akan menangguhkan sementara proses pencarian jika masih gagal menemui pesawat berkenaan selepas selesai pencarian di selatan Lautan Hindi.

"Kita tidak akan berhenti, sebaliknya akan menangguhkan seketika proses pencarian pesawat itu sehingga mendapat petunjuk-petunjuk baharu," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Sementara itu, Liow menegaskan kos terperinci projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) akan diumumkan oleh kerajaan dan meminta semua pihak supaya tidak memutarbelitkan isu berkenaan.

Beliau berkata jumlah RM55 bilion bagi pelaksanaan projek itu hanya anggaran dan belum dimuktamadkan.

"Sekarang belum lagi bagi projek ini kepada syarikat tersebut, ini setakat anggaran sahaja dan nothing is final (belum muktamad), sebab itu bila sampai ke perjanjian muktamad, kita akan beritahu setiap kilometer berapa kosnya, berapa terowong, berapa jambatan... tunggulah, sabar sikit," katanya. - BERNAMA

MH17, MH370, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Lain