Hakim Murtazadi Amran membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menyediakan representasi bagi pertuduhan itu ketika kes disebut semula di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah bersedia untuk perbicaraan kes terbabit selepas tertuduh kekal dengan pengakuan tidak bersalah.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini.
Ahli perniagaan itu didakwa atas 16 pertuduhan gagal membayar cukai GST mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, 16 lagi pertuduhan adalah atas kegagalannya mengemukakan penyata GST dan dia didakwa mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.
Tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.