suria

TPPA Atau Tidak, Malaysia Komited Perkukuh Hubungan Dengan AS - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara lain yang terlibat dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, sama ada perjanjian itu akan dilaksanakan atau sebaliknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun negara yang terlibat dalam TPPA menyedari pandangan yang disuarakan oleh Donald Trump, yang dipilih sebagai Presiden, masih telalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenainya, sebelum beliau (Trump) memulakan tugas.

Dalam kedudukan semasa, TPPA tidak boleh dilaksanakan tanpa pembabitan AS, katanya semasa ditanya reaksi Malaysia jika AS gagal mengesahkan TPPA dan sama ada Malaysia akan bersetuju untuk merundingkannya semula.

Oleh itu, ia bukan persoalan sama ada atau tidak Malaysia - atau negara lain - masih boleh meneruskan dengan pengesahan terbabit.

"Sama ada TPPA diteruskan atau tidak, kita terus komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan AS, dan negara lain yang terlibat," kata  Najib, yang juga Menteri Kewangan kepada Nikkei Asian Review (NAR) dalam jawapan bertulis menjelang lawatan rasmi tiga harinya ke Jepun mulai Selasa.

Lawatan ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya Shinzo Abe.

Mengenai hubungan Malaysia dengan China, terutama pengukuhan hubungan ekonomi dan pertahanan, beliau berkata hubungan dua hala telah mencapai tahap baharu dan trend itu akan berterusan.

"Ini tidak mengejutkan memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar kami dengan menyumbang lebih 15 peratus dagangan kami di luar sempadan.

"Namun, hubungan Malaysia dengan mana-mana negara tidak membelakangkan hubungan dengan negara lain.

"Dan sejauh mana yang melibatkan Amerika Syarikat, ia merupakan hubungan yang kami utamakan. Sesungguhnya ini dicerminkan menerusi peningkatan hubungan dua hala menerusi perkongsian komprehensif pada 2014," katanya kepada NAR semasa ditanya sama ada Malaysia akan menimbang semula hubungannya dengan AS.

"Kami telah bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, keselamatan dan pertahanan - dan berharap meningkatkan lagi hubungan kami di bawah kepimpinan presiden Trump," kata Najib.

Mengenai landasan kereta api laju (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura, Perdana Menteri berkata Malaysia sangat teruja mengenai projek itu dan komited terhadap proses pemilihan yang kompetitif, objektif dan telus dalam bentuk tender awam bagi mencari sistem kereta api terbaik.

Perkhidmatan projek infrastruktur yang dirancang antara Kuala Lumpur dan Singapura itu merupakan projek infrastruktur terbesar yang pernah dilaksanakan oleh negara kami.

Putrajaya dan Singapura dijangka menandatangani perjanjian dua hala pada 5 Dis bagi pembangunan HSR, yang dijangkakan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan negara kepulauan itu dalam tempoh 90 minit.

"Rekod keselamatan, kebolehpercayaan dan kecemerlangan sistem shinkansen (kereta api laju Jepun) memastikan ia boleh menjadi peserta kompetitif dalam proses pembidaan," katanya.

Mengenai tujuan lawatan beliau ke Jepun, Najib berkata selain memperkukuh hubungan dua hala, beliau juga komited untuk meningkatkan aliran masuk perdagangan dan pelaburan, terutama dalam bidang seperti inovasi dan teknologi canggih, kemahiran berteknologi tinggi dan pembangunan perkhidmatan serta tenaga boleh baharu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Supermoon Tarik Perhatian Ramai

Artikel Lain