KUALA LUMPUR: Majikan pekerja asing boleh membuat pembayaran yuran pemeriksaan kesihatan pekerja mereka secara dalam talian melalui Portal Majikan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bermula Selasa. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Hatar Ismail berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi membolehkan majikan berurusan secara lebih pantas dan efisien melalui portal https://portal.fomema.my/. "Dengan kemudahan Internet, mesin pengimbas untuk mengimbas dokumen-dokumen yang berkaitan, menjadikan proses pendaftaran secara konvensional pada masa ini yang dilakukan di cawangan-cawangan Fomema seluruh negara, tidak lagi perlu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu. Menurut beliau, apa yang perlu majikan lakukan ialah membuka akaun majikan untuk pengenalan pengguna dan kata kunci serta mendaftarkan pekerja asing secara dalam talian melalui Financial Process Exchange (FPX) iaitu saluran pembayaran yang disediakan untuk 15 bank yang mengambil bahagian. "Setelah majikan membuka akaun mereka, ia akan diproses, seterusnya status pendaftaran iaitu sama ada berjaya atau tidak akan dimaklumkan kepada majikan melalui e-mel dalam tempoh dua hari bekerja," katanya. Beliau berkata proses pendaftaran sedia ada di semua cawangan Fomema masih diteruskan bagi menampung keperluan pendaftaran majikan yang tiada kemudahan Internet. -- Bernama