IPOH: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sering mengubah taktik dalam berpolitik demi mencapai kepentingan dan agenda politik peribadinya semata-mata. Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Dr Mahathir juga dilihat tidak mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas dalam perjuangan politiknya. "Jika dahulu dia tidak suka perhimpunan haram tetapi sekarang okay kerana sokongan itu kononnya dapat menyumbang kepada kekuatan politiknya. "Dia (Mahathir) tidak ada aturan kerana apa yang penting bagi dia asalkan dia boleh 'menang' dalam politik," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bengkel Penyediaan Modul Pengurusan Padi Pertubuhan Peladang 2016 di sini, Khamis malam. Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata Dr Mahathir sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP.