suria

Kenali Datuk Lat Menerusi Autobiografi ‘Lat: My Life And Cartoons’

Pelukis terkemuka negara Datuk Mohammad Nor Khalid yang juga terkenal dengan nama Lat (kiri) menandatangan pada buku peminat ciliknya Nurailia Umira Mohd Nazri, 7, (tengah) dan adiknya Amanda Safia, 4, pada majlis pelancaran buku 'Lat My Life and Cartoons', Sabtu.

PETALING JAYA: Selami perjalanan hidup kartunis terkenal Asia Tenggara, Datuk Mohammad Nor Khalid menerusi  autobiografi berjudul ‘Lat: My Life and Cartoons’ yang dilancarkan pada Sabtu.

Kartunis yang dikenali ramai sebagai Datuk Lat, 65,  sinonim dengan penerbitan komik bersiri seperti ‘Kampung Boy’, bagaimanapun kali ini kisah hidupnya diceritakan menerusi penulisan.

“Saya bukan seorang penulis yang baik kerana biasa bercerita melalui lukisan. Jadi, saya akan tulis secara ringkas, dan setiap kali hendak menulis saya akan rujuk kepada Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

“Saya berharap untuk melukis dalam autobiografi ini, tetapi ia mengisahkan kehidupan saya yang bukan sahaja dipenuhi gelak tawa dan jenaka, tetapi saya juga melalui pelbagai cabaran sebelum berada di tempat saya sekarang," katanya sambil menambah tidak sesuai untuk lakaran kartun dimuatkan dalam buku berkenaan.

Datuk Lat (kanan) bersama Syed Nadzri yang juga penulis autobiografi ‘Lat: My Life and Cartoons’ pada majlis pelancaran buku berkenaan.

Proses penghasilan autobiografi ini terlewat dua tahun kerana banyak cerita, dokumen dan gambar yang perlu dikumpul sebelum diterbitkan tahun ini dan seterusnya menembusi pasaran luar negara.

Pengarah Editorial Editions Didier Millet (EDM), Martin Cross berkata, buku ‘Lat: My Life and Cartoons’ akan dilancarkan di Kinokuniya, Singapura pada 10 Disember ini sebelum diperluaskan ke pasaran beberapa negara lain.

 
“Buku ini juga akan dipasarkan di Amerika Syarikat menerusi Amazon dan Barnes and Noble dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.
 
“Bagi pasaran tempatan, jika habis dijual, ia akan cetak semula. Buku ini hanya akan berada secara eksklusif di Borders sahaja, dan bakal didapati di cawangan kedai buku di seluruh Malaysia selepas enam bulan dipasarkan,” jelasnya.
 
Edisi kulit keras Lat:My Life and Cartoons’ ini dijual pada harga RM99 senaskhah.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Syed Nadzri yang juga bekas pengarang kanan akhbar The New Straits Times, tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin serta kartunis tanah air.
 
 


Artikel Sebelum

Bersih 5 Berakhir Aman

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan