suria

PAU2016: Gelanggang Adinda Medan Kumpul Maklumat

KUALA LUMPUR: Program Gelanggang Mega Adinda yang julung kali diadakan adalah platform mengumpul idea bernas di kalangan wanita muda pelbagai latar belakang untuk dibawa pada Perhimpunan Agung Umno 2016 yang akan diadakan selama lima hari mulai 29 November depan.

Penggerak Adinda, Nik Zakirah Farhanis Zakimi berkata program dua hari yang bermula Sabtu akan melibatkan sesi debat terbuka dalam bahasa Melayu dan Inggeris meliputi topik ekonomi, pendidikan sosial, undang-undang, agama dan politik.

"Debat terbuka ini dikhususkan untuk wanita berusia 18 hingga 25 tahun antaranya melibatkan anggota Puteri Umno, pelajar universiti, wakil Parlimen Belia dan badan-badan bukan kerajaan," katanya kepada Bernama selepas bengkel perdebatan umum sempena Gelanggang Mega Adinda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu. 

Beliau berkata walaupun bukan semua peserta akan terlibat dalam Perhimpunan Agung Umno 2016, program ini amat bermakna sebagai medan untuk mereka berdebat dan melontarkan idea bernas untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Nik Zakirah Farhanis berkata program itu, yang akan dirasmikan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Tun Ismail, PWTC esok, adalah inisiatif baharu di bawah sayap Biro Politik Puteri Umno.

Ia menekankan kepentingan wanita muda untuk bergiat aktif dalam dunia politik dan pada masa yang sama mempunyai pengisian minda dan sahsiah bagi membolehkan politik berasaskan polisi dapat direalisasikan, katanya.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain