suria

Stesen Minyak Milik Pengusaha Dnars Diserbu Penangan Petrol Percuma

Pengasas Dnars, Faziani Rohban dan suami, Ahmad Shah Rizal Ibrahim.

PETALING JAYA: Penangan tawaran petrol percuma, Stesen Minyak Petron Belimbing, Tanah Merah di Kelantan diserbu lebih 500 pengguna motosikal pada Jumaat.

Semuanya gara-gara tawaran syarikat produk kecantikan dan kesihatan Dnars buat 2,000 pengguna motosikal 125cc pada setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang November ini.

Tawaran itu sempena bulan kelahiran pengasas Dnars, Faziani Rohban dan suami, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, masing-masing pada 10 dan 4 November.

Ahmad Shah Rizal atau lebih dikenali sebagai Rizal berkata, sambutan menerusi program yang bermula pada Jumaat amat menggalakkan.

Pengguna motosikal beratur untuk mendapatkan petrol percuma.

“Walaupun terhad kepada 500 pengguna motosikal 125cc, tetapi ramai ‘serbu’ stesen minyak hari ini. Lebih 500 orang yang datang untuk mendapatkan minyak percuma.

“Alhamdulillah, program ini mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang gembira dan berterima kasih dengan tawaran ini,” katanya kepada mStar Online.

Rizal berkata, walaupun diserbu penduduk setempat, tetapi keadaan di stesen minyak terkawal dengan kerjasama pasukan Rela.

Menurut Rizal, tawaran minyak percuma akan teruskan pada Sabtu (19 November), dan minggu depan pada Jumaat dan Sabtu, dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Tawaran petrol percuma oleh Dnars mendapat sambutan luar jangka.

Bagaimanapun katanya, ia hanya terhad kepada 500 motosikal 125cc terawal setiap hari sepanjang tempoh tersebut.

“Mereka yang sudah dapat minyak percuma hari ini (Jumaat) masih boleh datang, begitu juga mereka yang belum berkesempatan lagi,” katanya.

Rizal berkata, program minyak percuma itu merupakan sebahagian  sumbangan Dnars bagi meringankan beban masyarakat terutama mereka di luar bandar dengan kenaikan harga minyak dan barangan.
petrol percuma, Dnars

Artikel Lain