suria

Najib Tiba Di Peru Untuk Mesyuarat APEC

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peru, Carlos Basombrio (kanan) sejurus tiba di Lima Peru bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu. Turut kelihatan Duta Malaysia ke Peru Chuah Teong Ban (kiri).

LIMA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu negara Peru petang Jumaat untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez kira-kira 8.27 malam waktu tempatan (9.27 pagi waktu Malaysia, Sabtu).

Najib disambut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peru Carlos Basombrio.

Mesyuarat Pemimpin APEC pada 19 dan 20 Nov, acara utama bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), akan dihadiri para pemimpin dari 12 negara anggota.

Majlis rasmi bagi mengalu-alukan kehadiran para pemimpin oleh Presiden Peru Pedro Pablo Kuczynski akan diadakan di Lima Convention Centre pada Sabtu. 

Antara program yang disusun bagi mesyuarat para pemimpin termasuk dialog tidak rasmi antara para pemimpin APEC dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg, serta dialog antara pemimpin dan ketua pegawai eksekutif utama APEC yang membentuk Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

APEC yang diasaskan pada 1989, adalah satu forum ekonomi, perdagangan dan pelaburan di kalangan 21 negara lingkaran Pasifik.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Sesi rundingan peringkat pemimpin mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan diadakan di luar acara APEC, berikutan para pemimpin 21 negara yang menandatangani perjanjian itu termasuk Malaysia akan bertemu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung inisiatif itu selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Selain menghadiri jadual ketat yang diatur untuk para pemimpin APEC, Najib juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Australia dan Papua New Guinea, di luar acara APEC.-- Bernama



Najib Tun Razak, Peru, APEC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain