suria

Bersih 5: Polis Sabah Buka Kertas Siasatan

KOTA KINABALU:  Polis Kota Kinabalu akan membuka kertas siasatan berkaitan dua kesalahan yang dikenal pasti dilakukan dalam perhimpunan Bersih 5 yang diadakan pada Sabtu dan memanggil penganjur serta peserta untuk diambil keterangan. 

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dua kesalahan itu adalah melanggar peraturan dan undang-undang yang termaktub mengikut Seksyen 9(5) dan Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis serta menyertai protes jalanan.

Beliau berkata dianggarkan 600 peserta Himpunan Bersih 5 mula berkumpul kira-kira 12 tengah hari di empat lokasi sekitar bandar raya sebelum berarak ke Taman Ujana Rimba Tropika pada jam 1.50 tengah hari.

"Mereka berjalan kaki dan menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu-lintas di beberapa jalan menuju ke taman ini. Mereka sampai ke taman ini pada jam 3 petang dan berhimpun hingga 5.30 petang," katanya kepada pemberita selepas selesai taklimat penugasan perhimpunan itu.

Chandra berkata polis berjaya mengawal keadaan perhimpunan itu selain tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada unsur hasutan berlaku sepanjang perhimpunan.

Tinjauan Bernama mendapati perhimpunan tersebut kehilangan momentum apabila terdapat peserta beransur-ansur meninggalkan lokasi berkenaan sebelum ia selesai pada jam 5.30 petang.-Bernama

Bersih 5, Polis Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain