suria

Ratusan Serbu Taman Negara Gunung Gading Lihat Rafflesia Kembang

LUNDU: Sejak Jumaat lalu, Taman Negara Gunung Gading, di sini 'diserbu' hampir 200 pelawat untuk melihat sendiri bunga Rafflesia atau bunga pakma spesies 'tuan mudae' kembang.

Nama spesis bunga pakma itu adalah sempena nama Rajah Charles Brooke kedua dalam bahasa Melayu yang disebut 'Tuan Mudae'.

Bunga terbesar di dunia itu mula kembang sejak Khamis dan dijangka berterusan hingga Selasa depan.

Pelawat perlu berjalan kira-kira 300 meter atau 20 minit dari pejabat taman negara tersebut sebelum sampai ke lokasi bunga pakma itu.

Pegawai bertugas di taman negara tersebut, Edmund Gering, 27, berkata bunga Rafflesia memerlukan masa hampir sembilan bulan untuk kembang.

"Bunga yang kembang kali ini berdiameter 70sm dan mempunyai enam kelopak.

Kebiasaannya Rafflesia hanya mempunyai lima kelopak. Setiap tahun ada kira-kira 20 bunga Rafflesia akan kembang di taman negara ini," katanya ketika ditemui di sini, Ahad.

Pelawat yang ingin melihat Rafflesia perlu berdaftar dengan pihak pengurusan taman negara dan memerlukan jurupandu yang ditetapkan sebelum dibenarkan mengunjungi mana-mana lokasi bunga Rafflesia kembang.

Edmund berkata terdapat kira-kira 23 lokasi bunga Rafflesia dibuka untuk pelawat telah ditanda oleh pihak taman negara bagi memudahkan mereka mengunjunginya.

"Lokasi kali ini agak tersorok kerana bunga Rafflesia ini berada di celah  batu besar, namun pembantu konservasi sudah menandakan lokasi ini terlebih dahulu untuk rekod," katanya.

Taman Negara Gunung Gading meliputi kawasan seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada 1983 bagi mewujudkan zon pemuliharaan bagi tumbuhan itu yang hampir pupus.

Selain bunga Rafflesia, Gunung Gading mempunyai tarikan lain seperti kawasan bukit-bukau, air terjun dan periuk kera.

Pelawat boleh sampai ke taman yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuching dengan mengambil masa hampir dua jam perjalanan melalui jalan raya.

Artikel Lain