suria

Alat Penimbang Digital RM800 Jadi RM8,000?

KUALA LUMPUR: Alat penimbang digital berharga RM800 seunit dibeli dengan harga RM8,000 oleh sebuah kolej komuniti?

Itu yang dikesan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2.

Ironinya, kolej komuniti yang sama membeli dua peralatan itu pada harga berbeza, cuma bayaran pembelian RM800 dibuat pada 27 Julai 2012 manakala bayaran pembelian RM8,000 dibuat pada 6 September 2012, selang hanya 42 hari tetapi harga peralatan yang sama dengan spesifikasi yang sama meningkat sebanyak 900 peratus.

Laporan itu mengesan pembelian tersebut oleh Kolej Komuniti (KK) Jerantut, Pahang semasa membuat pemeriksaan terhadap baucar bayaran bagi pembekalan peralatan akuakultur di kolej itu.

Laporan itu juga mendapati peralatan akuakultur lain seperti 'Broodstock Tank' dibeli oleh kolej itu dengan harga RM2,100 seunit, meningkat kepada RM6,570 seunit manakala High Pressure Water Jet daripada RM950 seunit, naik kepada RM2,850 seunit, kedua-duanya dalam tempoh yang sama iaitu perbezaan 42 hari juga.

Laporan itu menyebut baucar yang dikeluarkan pada bulan Julai dan September 2012 mendapati sembilan peralatan dibeli mengalami perbezaan harga yang ketara sehingga kenaikan sebanyak 900 peratus seunit.

Menurut laporan itu, perbezaan harga yang diperoleh amat ketara biarpun peralatan tersebut mempunyai jenis dan spesifikasi yang sama.

Di samping itu, semakan audit terhadap empat baucar bayaran bagi pembekalan peralatan kecantikan dan spa antara Kolej Komuniti Taiping dan Batu Gajah, Perak antara bulan Mei hingga Disember 2012 juga mengalami masalah yang sama.

Sebanyak sembilan peralatan yang dibeli mempunyai perbezaan harga yang ketara antara kedua-dua kolej tersebut sehiggakan ada peralatan di beli dengan perbezaan harga hingga RM6,000 seunit.

Antaranya, pembelian 'Padding Slim Machine' yang dibeli oleh KK Taiping dengan harga RM9,000 seunit pada Disember 2012 jauh lebih mahal berbanding pembelian peralatan yang sama dibeli oleh KK Batu Gajah pada bulan Jun 2012 dengan harga RM3,000 seunit.

Selain itu pembelian 'Hot Blanket' dengan harga RM7,500 seunit oleh KK Taiping juga lebih mahal daripada pembelian KK Batu Gajah dengan harga RM2,000 seunit pada tempoh yang sama.

"Pada pendapat Audit, kajian pasaran tidak dilaksanakan dengan memuaskan dan pihak Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) tidak mengambil kira aspek harga setiap peralatan yang ditawarkan oleh pembekal hingga menyebabkan perbezaan harga yang terlalu tinggi," menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Isnin.

Oleh yang demikian, jabatan tersebut disyorkan untuk memastikan pengurusan peralatan oleh kolej komuniti dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap agar kerajaan mendapat nilai terbaik daripada wang yang dibelanjakan.

JPKK dalam jawapannya menyatakan pihaknya telah melaksanakan pemilihan lebih daripada satu penyebut harga dalam satu pakej sebut harga dan tidak terikat untuk memilih tawaran terendah.

Tambah JPKK lagi, pihaknya akan memilih beberapa penyebut harga untuk membeli item tertentu dengan harga yang termurah atau berpatutan. - BERNAMA


Artikel Lain