BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang pemandu lori berusia 27 tahun di Batu Maung, Pulau Pinang pada Mei lalu. Ketua Polis Daerah (OCPD) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek berusia antara 20 dan 24 tahun ditahan di sebuah pusat hiburan di Prai kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad. "Keempat-empat suspek akan ditahan sehingga esok (Isnin) bagi membantu siasatan. "Berdasarkan pemeriksaan awal, tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah, katanya. Pada 20 Mei lalu, R. Jegathiswaran ditemukan mati dengan kesan luka tetakan di dalam longkang depan sebuah restoran di Batu Maung. Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi pada hari kejadian. Beberapa jari mangsa juga putus dan ditemukan 28 meter dari tubuh mangsa. Sementara itu, seorang pekerja kilang meninggal dunia manakala seorang remaja berusia 17 tahun cedera parah apabila motosikal yang mereka tunggang terlibat dalam kemalangan di Jalan Rozhan di sini pada Ahad. K. Kaartic, 21, mati ditempat kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi manakala mangsa yang cedera, Coh Yong Wei dikejarkan Hospital Seberang Jaya akibat kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.