suria

Penganggur Curi Duit Pemuzik OKU Dipenjara Sebulan

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri wang dari bakul sekumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang sedang membuat persembahan muzik, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu ke atas Chen Chee Ken, 41, setelah lelaki itu mengaku bersalah mencuri wang tunai RM22 milik sekumpulan OKU penglihatan yang sedang membuat persembahan muzik di laluan pejalan kaki stesyen keretapi transit aliran ringan (LRT) KLCC, Jalan Ampang di sini pada 6.15 petang, Ahad.

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh dia ditangkap pada 20 November.

Menurut fakta kes, ketika pengadu Mohd Redzha Shahbudin sedang menunggu teman wanitanya membeli-belah telah melihat tertuduh mengambil wang dari bakul sekumpulan OKU penglihatan yang sedang membuat persembahan muzik dan terus berjalan laju.

Pengadu berjaya menahan tertuduh yang ketika itu menggenggam wang tunai ditangan kanannya dan kemudiannya menyerahkan tertuduh kepada polis bantuan yang berada di situ.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan orang awam. - BERNAMA

Curi, Tahan

Artikel Sebelum

Artikel Lain