KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan rasa dukacitanya di atas insiden yang melibatkan para wartawan ketika berlangsungnya Konvensyen UMNO Pahang baru-baru ini, sehingga menarik perhatian Kesatuan Kewartawanan Kebangsaan Malaysia (NUJ) yang membuat kenyataan media menegur insiden tersebut. Annuar berkata, beliau memahami mungkin ada rakan-rakan media yang terlibat di dalam insiden itu merasa sedikit tersinggung dengan apa yang berlaku berpunca daripada salah faham yang berlaku pada hari tersebut. “Saya bagi pihak Umno Malaysia, memohon maaf kepada kawan-kawan yang bertugas pada hari itu yang terasa hati dengan insiden tersebut. Walaupun ini adalah soal Umno Pahang, tetapi majlis tersebut adalah majlis parti dan saya sebagai Ketua Penerangan Umno, sudah tentu saya tidak gembira dengan apa yang berlaku. “Ini disebabkan kita sangat-sangat memerlukan kerjasama daripada rakan-rakan media. Mereka adalah golongan profesional yang mempunyai tugas-tugas untuk dijalankan. Dan seharusnya mereka diberikan ruang untuk menjalankan tugas-tugas mereka secara profesional. “Tetapi kadang kala sebagai manusia biasa, mungkin ada tersasul atau tersilap di sana sini. Jadi saya berharap isu ini tidak perlu dipanjangkan dan Umno Ibu Pejabat akan cuba menghubungi Umno Pahang untuk mencari jalan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” jelas beliau dalam satu sidang media di PWTC di sini Selasa. Jelas Annuar, majlis tersebut sememangnya sebuah majlis tertutup namun pada upacara penutupan majlis tersebut yang dihadiri oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddintelah berlaku sedikit salah faham diantara Umno Pahang dan rakan-rakan media. “Memang majlis pada hari itu merupakan majlis tertutup dan para wartawan pun tidak mengganggu majlis. Namun apabila sampai pada acara penutup di mana yang hadir itu adalah Naib Presiden, maka saya difahamkan majlis itu tidak lagi menjadi majlis tertutup kerana sudah ada jemputan untuk hadir ke majlis. “Jadi wartawan tidak ada buat silap. Tetapi mungkin pada waktu itu berlaku sedikit salah faham sehingga ada kata-kata yang tidak enak didengar dan menyinggung perasaan para wartawan. Inilah sebahagian pengalaman yang berlaku sekali sekala dalam kehidupan kita sebagai manusia,” ujarnya. Tambah beliau lagi, hubungan rakan-rakan media dengan UMNO telah bermula seawal sebelum negara ini merdeka, ketika di mana orang-orang politik yang sedang berjuang memerdekakan negara, bersama-sama dalam kerangka itu adalah orang-orang media. “Sebenarnya rakan-rakan media dan UMNO bagi saya berpisah tiada. Seawal perjuangan menuntut kemerdekaan hubungan rakan-rakan media dan UMNO telah pun wujud. Seperti Utusan Melayu dan beberapa akhbar lain, termasuklah akhbar berbahasa Cina. “Sehinggalah ke hari ini tidak boleh sama sekali UMNO terpisah daripada kawan-kawan dalam bidang kewartawanan. Hubungan ini sudah jadi seperti hubungan adik beradik. Seolah-olah cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. “Dan atas peristiwa yang berlaku di Pahang baru-baru ini, saya pohon maaf banyak-banyak dan insyaAllah kita akan mencari jalan bagi menjernihkan suasana supaya silap faham itu tidak perlulah berlarutan. Saya yakin ianya berlaku berkemungkinan kerana sedikit salah faham dan saya harap perkara ini tidak perlu dipanjang-panjang lagi,” jelasnya. - MediaUmno