suria

Polis Cedera Ditembak Suspek

PETALING JAYA: Seorang anggota polis cedera dipercayai ditembak lelaki warga Afrika di Jalan Persiaran Industri, Bandar Sri Damansara di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, anggota berpangkat Lans Koperal dikenali sebagai Syarom dari Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Sri Damansara cedera di paha kiri. 

Menurut jurucakap polis, anggota polis itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata terdahulu, anggota itu bersama rakan setugasnya sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan kereta Perodua Myvi berwarna putih yang mencurigakan.

"Anggota kemudian mengejar kereta yang dinaiki tiga lelaki warga Afrika itu sejauh kira-kira dua kilometer. Mereka bertindak melanggar beberapa buah kenderaan lain untuk melarikan diri," kata jurucakap itu.

"Anggota cuba mengejar salah seorang suspek yang cuba melarikan diri apabila kereta itu berhenti dan terkena tembakan," katanya. 

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki warga Afrika itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dinaiki di persimpangan lampu isyarat di kawasan itu.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Mun berkata dia melihat suspek melarikan diri dengan tergesa-gesa dan meninggalkan kereta mereka di tepi jalan.

"Saya dengar bunyi tembakan dan melihat ada lelaki warga Afrika berbadan besar melarikan diri sebelum polis tiba," kata wanita itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain