suria

Adun DAP Gesa Guan Eng Henti Pengerusikan SPC

Teh Yee Cheu.

GEORGE TOWN:  Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menarik diri daripada mempengerusikan Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) atau Jawatankuasa Tanah sementara menunggu perbicaraan dakwaan rasuah terhadap dirinya.

"Kebiasaannya, kami menggesa ahli politik mengambil cuti sementara membolehkan siasatan terhadapnya dilengkapkan. Jika cadangan seperti ini susah untuk diterima, maka langkah lebih progresif boleh diambil di mana-mana demi keadilan, pemimpin itu dinasihatkan untuk tidak mempengerusikan dan menguruskan perkara dalam SPC atau Jawatankuasa Tanah buat masa ini sehingga keputusan akhir mahkamah," kata Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah), merujuk kepada perbicaraan kes rasuah Guan Eng.

Teh yang membahaskan Bajet 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa turut berkata jika mempunyai peluang, beliau akan membuat perubahan terhadap perlembagaan negeri bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal.

"Kita dalam sistem Westminster yang menjalankan fungsi pemisahan kuasa yang terdiri daripada perundangan, eksekutif dan kehakiman.

"Dan sekarang kita berada dalam krisis di mana badan kehakiman sedang dalam proses menyiasat eksekutif berkaitan beberapa pertuduhan.

"Dalam sistem kita, salah satu struktur adalah tanggungjawab. Seorang pemimpin perlu mengamalkan tanggungjawab bersama ketika berdepan kontroversi supaya kepentingan awam selamat dan tadbir urus dipertahankan," katanya.

Lim tidak hadir pada persidangan DUN ketika Teh menyampaikan ucapannya.

Dalam perkembangan berasingan, Teh berkata jawatankuasa transgender yang dibentuk juga melaksanakan dua simposium pada tahun ini.

"Simposium ini dimasukkan dalam bentuk laporan yang dibentangkan dalam dewan," katanya.

"Kalau boleh, saya juga akan membentangkan laporan itu kepada exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk diterima dan dibentangkan di DUN sebagai satu kenyataan dalam mesyuarat pada tahun depan," katanya.




Lim Guan Eng, SPC

Artikel Lain