suria

Mesej Viral Gred UPSR Adalah Palsu

PUTRAJAYA: Mesej mengenai penggredan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang viral media sosial adalah palsu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon menafikan mesej tersebut, yang didakwa dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Siti Mazlin Abd Rahman.

Kandungan mesej tersebut, termasuklah menyatakan bahawa murid yang mendapat markah 90 hingga 100 akan mendapat A dalam UPSR tahun ini.

Pada halaman Facebook MBKM, Siti Mazlin menafikan membuat kenyataan seperti itu.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan di atas. Mohon hentikan penyebarannya.

"Sekiranya masih terus berlaku, aduan akan dibuat kepada pihak polis dan SKMM bagi memastikan pihak yang memviralkan maklumat ini akan dikenakan tindakan," kata kenyataan itu.

Sin Woon berkata Lembaga Peperiksaan juga tidak mengeluarkan maklumat mengenai markah dan penggredan.

"Malah saya sendiri tidak tahu berapa markah yang akan memberikan anda gred tertentu. Tidak wajar untuk menyatakan disebabkan markah itu ramai yang tidak mendapat A.

"Keputusan UPSR tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya kerana ia adalah dua set peperiksaan yang berbeza.

"Saya ingin menegaskan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) memerlukan lebih banyak jawapan kreatif dan bermaklumat daripada calon-calon," katanya kepada pemberita di Kementerian Pendidikan di sini.
gred UPSR, Datuk Chong Sin Woon, UPSR

Artikel Lain