SEPANG: Isteri kepada seorang pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damarvand, Iran sejak Ahad lalu menyatakan kesediaan untuk menerima sebarang takdir mengenai nasib suaminya. Roslida Ablah, 41, berkata beliau pasrah dengan ketentuan Ilahi terhadap suaminya Ramli Abd Majid, 44, yang sememangnya mempunyai azam yang tinggi. "Saya bersedia menerima apa juga keadaan sama ada suami saya masih hidup atau mati. Saya cuba bertahan dan sabar menghadapi situasi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, Khamis. Roslida yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di Pusat Bandar Puchong akan berlepas ke Tehran dengan menaiki pesawat Airasia (D7776) pada pukul 7.05 malam ini bersama dua lagi anggota keluarganya. Ramli dan seorang rakan Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, bertekad mahu menakluki puncak tertinggi di Iran itu dan meneruskan pendakian walaupun dinasihatkan untuk turun semula kerana tidak cukup masa. Bagaimanapun, Roslida berharap dan berdoa agar suaminya dan Syed Redzuan ditemukan dengan selamat dan segera oleh pihak misi mencari dan menyelamat (SAR). "Kali terakhir saya berhubung dengan beliau ialah pada hari keberangkatannya pada 17 Nov di klia2. Saya faham telefon bimbit ada masalah dan melalui kawannya, Amir, saya tahu dia sihat. "Saya dapat tahu dia hilang selepas dimaklumkan oleh penganjur pada Selasa selepas Maghrib. Penganjur bagitau saya ada berita kurang enak untuk didengar," katanya. Roslida memberitahu beliau sudah dapat menjangka perkara itu apabila menerima panggilan daripada pihak penganjur disebabkan beliau tahu bahawa suaminya memang bertekad untuk menawan gunung itu kerana masih mempunyai tenaga walaupun keadaan cuaca tidak elok. "Suami saya, seorang pegawai IT, adalah seorang yang aktif dalam aktiviti pergunungan sejak 2005-2006, dan setakat ini beliau tiada penyakit kritikal dan pernah cedera atau terjatuh di dalam aktiviti perhutanan. Roslida, yang telah mendirikan rumah tangga selama 19 tahun, menceritakan bahawa suaminya seorang yang bertenaga tinggi dan selalu berfikiran positif serta mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi segala halangan. Setakat ini, Ramli telah berjaya menakluki antara lima hingga enam gunung antaranya kem induk Gunung Everest, Gunung Elbrus (Russia), Gunung Kilimanjaro (Tanzania), Ireland Peak (Nepal), Gunung Kosciuszko (Australia) dan beberapa gunung di Indonesia. Ditanya mengenai anak tunggal pasangan itu, Roslida berkata anak lelakinya yang berumur 16 tahun sangat risau tentang keadaan bapanya, dan beliau telah meminta anaknya itu untuk melakukan solat hajat dan mendoakan agar dipermudah segala urusan. Menurutnya, beliau akan dijemput oleh Kedutaan Malaysia di Iran dan akan membawanya ke Reyner yang mengambil masa perjalanan selama tiga hingga empat jam, sebelum dibawa ke kem induk gunung Damarvand. "Saya hanya beli tiket untuk pergi dan berharap beliau dapat dijumpa secepat mungkin. Masa saya hantar, beliau berpesan seperti biasa iaitu jaga rumah, jaga diri. Tetapi, saya nampak beliau betul-betul mahu menawan Gunung Damarvand," katanya. Roslida juga berharap pihak SAR akan menggunakan peralatan maksimum untuk mencari suaminya yang memakai jaket biru dan Syed Redzuan berjaket merah. Isteri Syed Redzuan, Yszahanim Yusoff turut berlepas dalam penerbangan sama dengan Roslida dalam misi mencari suami masing-masing.