suria

Padah Tunjuk Kemaluan, Pemandu Teksi Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pemandu teksi menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di dalam lif kondominium, Jumaat lepas, mengundang padah apabila dikenakan hukuman penjara dua hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini, Khamis.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhi hukuman itu terhadap P. Mogan, 38, selepas dia mengaku bersalah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 33 tahun di dalam lif Kondominium Magnaville di Selayang, dekat sini, pada jam 4.20 petang, 18 November lepas.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mogan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan menyara dua anak berusia 12 dan sembilan tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, K.Vasugi memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA

Denda, Penjara

Artikel Sebelum

1,740 Pusat Judi Digempur

Artikel Berikut

Artikel Lain