KUALA KANGSAR: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan penyokong-penyokong Baju Kuning Bersih sebagai "bodoh" kerana tidak memahami undang-undang. Beliau berkata, anggota Bersih,serta penulis-penulis blog dan "pahlawan keyboard" yang menyokong mereka, terus bertanya mengapa Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) walaupun dia bukan pengganas. "Sila semak fakta anda terlebih dahulu. Siapa kata dia adalah pengganas? Pengganas akan ditangkap di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan tidak Sosma," kata Nazri yang juga Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan pada Jumaat. Katanya, Maria ditahan di bawah Sosma supaya polis dapat menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa dia mungkin terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. "Oleh itu, kumpulan Baju Kuning (penyokong Bersih) adalah bodoh kerana mereka tidak memahami undang-undang," katanya kepada pemberita ketika melancarkan "Kraf Kampungku" projek perintis di Kampung Kepala Bendang di Sayong.