suria

Tersasar Selepas Terlibat Dengan Dadah - Anggota Keluarga

Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemukan di dalam tong di Flat Paya Nahu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat pada Khamis. Foto:Bernama

SUNGAI PETANI: Ibu kepada dua kanak-kanak, seorang daripadanya maut dipercayai akibat didera, telah jauh tersasar selepas terlibat dengan najis dadah, menurut saudara terdekat ibu muda berumur 26 tahun itu.

Wanita itu berkata akibat dadah hidupnya musnah dan berakhir dengan tragedi mengakibatkan anak lelakinya maut dan anak perempuannya kini terlantar di hospital.

Menurutnya semasa remaja, ibu kanak-kanak berkenaan seorang yang bijak, baik dan memiliki paras rupa yang menarik.

"Dia sebelum ini tinggal bersama neneknya di Taman Seri Aman 2, Bedong, namun membawa diri selepas putus tunang ketika berusia belasan tahun.

"Dia katanya ke Johor, berkahwin di sana dan kembali menjenguk neneknya bersama anak sulungnya (perempuan) ketika anak itu berusia lebih setahun,"katanya di sini, Jumaat.

Menurut wanita itu, kali terakhir dia lihat mereka kira-kira tiga bulan lalu di rumah neneknya sebelum mereka berpindah.

"Semalam apabila mendengar berita mengenai kisah penderaan dan penemuan mayat itu disiarkan di televisyen, baru saya sedar kes itu melibatkan dia,"katanya dengan sayu.

Mayat kanak-kanak lelaki berumur dua tahun itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan dibalut kain selimut di dalam tong ikan dan telah mereput, di sini semalam.

Kanak-kanak itu dipercayai mati didera pada 9 November lepas dan turut didera kakak mangsa berusia empat tahun yang kini masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa dilaporkan memaklumkan kepada polis berhubung mayat anak lelakinya yang disorokkan di dalam tong berkenaan akibat didera oleh teman lelakinya berusia 34 tahun pada 9 Nov lalu di Flet Paya Nahu, di sini.

Sementara itu, seorang jiran di taman perumahan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hawa, 45, berkata air matanya menitis apabila membaca laporan akhbar mengenai kes itu.

"Kanak-kanak lelaki itu saya tidak pernah jumpa namun kanak-kanak perempuan itu saya pernah dukung sewaktu dia berusia setahun lebih," katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber daripada HSAH memaklumkan moyang kanak-kanak perempuan itu datang melawat pada kira-kira 5 petang tadi.

"Saya dimaklumkan pada pertemuan itu, kanak-kanak itu yang mengenali moyangnya, mengadu sakit di beberapa bahagian badan selain meminta untuk tinggal dengannya selepas keluar hospital.

"Pertemuan singkat itu amat bermakna untuk warga emas berusia lebih 70 tahun itu, kerana pernah menjaga cicitnya itu sewaktu kecil," katanya.-Bernama

Dera anak

Artikel Lain