suria

Trak Mack Sultan Johor Tarikan Karnival Jualan Mega 2016

JOHOR BAHRU:  Pameran Trak Mack tercanggih di dunia milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menjadi antara tarikan utama Karnival Jualan Mega 2016 di Dataran Angsana Johor Bahru di sini, Jumaat.

Karnival pameran dan jualan dari 23 sehingga 27 November ini julung-julung kali diadakan secara bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, karnival tersebut adalah melalui penggabungan beberapa program berimpak tinggi di bawah kementerian seperti Kempen Beli Barangan Malaysia, sambutan Hari Penjaja Kebangsaan, Hari Pengguna, Hari Francais, Program Citarasa Malaysia dan Kempen Kembali ke Sekolah.

Jelasnya, objektif program adalah mengetengahkan karnival jualan secara besar-besaran sebagai pilihan kepada masyarakat untuk berbelanja pada harga berpatutan dan lebih rendah berbanding di pasaran.

"Selain itu, program ini membantu pengeluar untuk memasarkan dan mempromosikan produk-produk buatan Malaysia serta perkhidmatan mereka.

"Malah program ini dapat membantu merancakkan kegiatan ekonomi domestik dan menggalakkan pembangunan industri tempatan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.

Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli ke Majlis Pelancaran Karnival Jualan Mega 2016 di Dataran Angsana Johor Bahru di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Karnival ini turut memberikan tarikan utama kepada para pengunjung menerusi pameran automotif yang menghimpunkan lebih 20 jenama kenderaan dan motosikal.

Hamzah berkata, segmen karnival jualan menghimpunkan 520 gerai yang melibatkan 300 pempamer serta lebih 1,000 produk dan perkhidmatan.

"Karnival ini menggabungkan pempamer dari pelbagai kelompok usahawan seperti pengilang, peruncit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan dalam talian, francais, minyak dan gas, koperasi, vendor dan pasar raya besar.

"Semua pengunjung digalakkan merebut peluang keemasan dengan berkunjung ke karnival ini kerana pelbagai tawaran menarik dan diskaun sehingga 70 peratus," ujar Hamzah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain